KUALA LUMPUR, 27 Januari- Malaysia berhasrat untuk meningkatkan perdagangan dengan pasaran baharu muncul dalam usaha melonjakkan eksport negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ekonomi pasaran terlibat memperlihatkan perkembangan yang pesat seperti di wilayah Afrika, Asia Barat dan Amerika Latin.
MITI bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) turut meneroka potensi pasaran bukan tradisional yang juga merupakan rakan kongsi perjanjian perdagangan bebas (FTA) negara, seperti Peru dan Mexico.
"Manfaat FTA ini termasuk tarif sifar dan akses pasaran keutamaan yang akan menjadikan produk dan perkhidmatan Malaysia lebih menarik dan berdaya saing. Selain itu, MITI melalui MATRADE akan berusaha menjalankan aktiviti promosi eksport di seluruh dunia.
"Kementerian akan meneruskan lebih banyak perjanjian perdagangan dua hala", katanya menerusi ucapan video sempena Prestasi Perdagangan Malaysia 2024: Mengemudi Perdagangan 2025.
Tambahnya, MITI juga dalam proses meningkatkan lagi jangkauannya ke bandar-bandar tahap dua di China dan Indonesia yang menjadi sebahagian daripada strategi kepelbagaian dengan tumpuan ke atas bandar seperti Chongqing, Chengdu, Nanjing, Medan, Surabaya dan Pontianak.
“Bandar- bandar ini sedang melalui proses pembandaran yang pesat dan pertumbuhan ekonomi dengan pertumbuhan penduduk yang ketara dan akan mewujudkan permintaan besar bagi produk serta perkhidmatan,” katanya.
Daya saing Malaysia juga akan terus diperkukuh menerusi ekonomi digital termasuk e-dagang rentas sempadan.
Turut hadir Timbalan Menterinya, Liew Chin Tong dan Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.