
SAN FRANCISCO, 30 April – Keluarga mangsa dalam salah satu insiden tembakan beramai-ramai paling dahsyat di Kanada memfailkan saman terhadap OpenAI dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sam Altman, di mahkamah Amerika Syarikat pada Rabu.
- Keluarga mangsa mendakwa OpenAI mengenal pasti suspek sebagai ancaman namun gagal memaklumkan pihak berkuasa.
- Beberapa kakitangan menggesa polis dimaklumkan tetapi kepimpinan syarikat dikatakan membatalkan cadangan itu.
- Plaintif menuntut ganti rugi dan perintah mahkamah untuk merombak protokol keselamatan serta mewajibkan rujukan kes berisiko kepada penguat kuasa.
Mereka mendakwa syarikat itu telah mengenal pasti suspek sebagai ancaman iaitu lapan bulan sebelum serangan, namun gagal memaklumkan perkara itu kepada pihak polis.
Menurut saman yang difailkan di mahkamah persekutuan di San Francisco, kepimpinan OpenAI didakwa tidak menghubungi pihak berkuasa kerana bimbang tindakan itu akan mendedahkan jumlah perbualan berkaitan keganasan di ChatGPT, sekali gus berpotensi menjejaskan laluan syarikat itu ke arah penyenaraian awam yang didakwa boleh mencecah nilai hampir AS$1 trilion.
Insiden tembakan yang berlaku pada Februari lalu di Tumbler Ridge, British Columbia, mengorbankan sembilan nyawa, dengan sebahagian besar mangsa terdiri daripada kanak-kanak.
Peguam yang mewakili plaintif, Jay Edelson, berkata maklumat daripada pemberi maklumat (whistleblower) menunjukkan OpenAI telah menandakan akaun suspek sebagai berbahaya selepas mendapati perbualan dalam platform itu berkait dengan keganasan bersenjata.
Menurutnya, seramai 12 kakitangan syarikat dikatakan menggesa agar pihak berkuasa dimaklumkan, namun kepimpinan tertinggi didakwa memilih untuk tidak berbuat demikian.
Ketika diminta mengulas kenyataan Edelson, jurucakap OpenAI, memberitahu bahawa insiden di Tumbler Ridge merupakan satu tragedi dan menegaskan syarikat itu mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap penggunaan alatnya bagi membantu perlakuan ganas.
Dalam kenyataan sama, OpenAI berkata pihaknya telah memperkukuh langkah perlindungan, termasuk menambah baik cara ChatGPT bertindak balas terhadap tanda-tanda tekanan emosi, menghubungkan pengguna kepada sumber sokongan tempatan dan bantuan kesihatan mental, serta memperketat penilaian dan tindakan susulan terhadap potensi ancaman keganasan.
Kes berkenaan menjadi sebahagian daripada gelombang saman yang semakin meningkat terhadap syarikat kecerdasan buatan (AI), yang didakwa gagal menghalang interaksi chatbot yang menurut plaintif boleh menyumbang kepada perbuatan mencederakan diri, masalah mental dan keganasan.
Difahamkan, ini dipercayai antara kes pertama di Amerika Syarikat yang secara khusus mendakwa ChatGPT memainkan peranan dalam memudahkan kejadian tembakan beramai-ramai.
Edelson turut memaklumkan beliau merancang memfailkan kira-kira dua dozen lagi saman dalam tempoh beberapa minggu akan datang bagi pihak individu lain yang turut terkesan dengan tragedi itu.
Menurut polis, Jesse Van Rootselaar, 18, yang menjadi fokus utama dalam saman berkenaan, didakwa menembak mati ibunya serta abang tirinya di rumah sebelum menyerang bekas sekolahnya pada 10 Februari.
Dalam serangan itu, suspek didakwa membunuh seorang pembantu pendidikan dan lima pelajar berusia 12 hingga 13 tahun, sebelum ditemukan mati akibat bunuh diri.
Plaintif terdiri daripada ahli keluarga mangsa yang maut di sekolah berkenaan, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang terselamat selepas ditembak tiga kali namun masih dirawat di unit rawatan rapi.
Menurut salah satu dokumen saman, sistem automatik OpenAI pada Jun 2025 telah menandakan perbualan ChatGPT milik suspek selepas dia menggambarkan senario keganasan bersenjata.
Pasukan keselamatan dalaman syarikat itu didakwa mengesyorkan supaya polis dihubungi selepas membuat kesimpulan bahawa suspek merupakan ancaman yang boleh dipercayai dan berisiko menyebabkan kemudaratan dalam masa terdekat.
Namun, saman itu mendakwa Altman dan beberapa pemimpin kanan OpenAI telah membatalkan cadangan tersebut dan pihak polis tidak pernah dimaklumkan.
Walaupun akaun suspek kemudiannya dinyahaktifkan, saman itu mendakwa dia berjaya membuka akaun baharu dan terus menggunakan platform berkenaan untuk merancang serangan.
Selepas laporan Wall Street Journal mengenai perbincangan dalaman syarikat itu diterbitkan, OpenAI memaklumkan akaun berkenaan memang telah ditandakan oleh sistem yang mengesan penyalahgunaan model AI untuk aktiviti ganas.
Bagaimanapun, syarikat itu berkata isu tersebut tidak memenuhi kriteria dalaman mereka untuk dilaporkan kepada penguat kuasa.
Minggu lalu, sebuah akhbar tempatan di Tumbler Ridge menyiarkan surat terbuka daripada Altman yang menyatakan beliau “amat kesal” kerana akaun berkenaan tidak dirujuk kepada pihak berkuasa.
Melalui saman itu, plaintif menuntut jumlah ganti rugi yang tidak dinyatakan, selain memohon perintah mahkamah supaya OpenAI merombak amalan keselamatannya, termasuk mewujudkan protokol wajib merujuk kes berisiko kepada penguat kuasa.
Menurut Edelson, salah seorang mangsa pada asalnya memfailkan saman di mahkamah Kanada, namun menarik balik tindakan itu bagi meneruskan tuntutan di California.
Saman berkaitan tragedi Tumbler Ridge ini hadir selepas beberapa tindakan undang-undang lain difailkan terhadap OpenAI di mahkamah negeri dan persekutuan Amerika Syarikat sejak beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk dakwaan bahawa ChatGPT memudahkan tingkah laku berbahaya, bunuh diri dan sekurang-kurangnya satu kes bunuh-bunuh diri.
Walaupun kebanyakan kes masih di peringkat awal, saman berkenaan dijangka memaksa mahkamah menilai sejauh mana platform AI boleh dianggap memainkan peranan dalam mendorong keganasan, serta sama ada syarikat teknologi boleh dipertanggungjawabkan atas tindakannya atau tindakan penggunanya.
OpenAI menafikan dakwaan dalam saman-saman tersebut dan dalam satu kes berasingan melibatkan bunuh-bunuh diri, syarikat itu berhujah bahawa pelaku mempunyai sejarah panjang masalah kesihatan mental.
Pada awal April, Peguam Negara Florida, James Uthmeier, turut mengumumkan siasatan jenayah terhadap peranan ChatGPT dalam satu insiden tembakan di Florida State University pada 2025.