BATU KURAU, 16 OGOS - Peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dalam mendamaikan konflik serantau diiktiraf dunia, khususnya dalam usaha menyelesaikan ketegangan di sempadan Thailand dan Kemboja.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kepercayaan Thailand dan Kemboja kepada Malaysia sebagai pendamai menunjukkan penghormatan dunia terhadap kestabilan politik dan ekonomi negara.
“Syukur Alhamdulillah, politik kita stabil, orang menghormati pembangunan ekonomi kita. Bila berlaku pergaduhan, mereka menyerahkan usaha perdamaian kepada kita. Satu dunia iktiraf, walaupun ada beberapa orang di Parlimen yang tidak mahu iktiraf, itu tidak mengapa.
“Apabila berlaku ketegangan di sempadan Thailand dan Kemboja, Malaysia diberi peranan untuk membantu. Alhamdulillah, kita dapat memastikan perjanjian damai ditandatangani dan dikuatkuasakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Usahawan Tenusu MADANI di Pondok Tanjung, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kejayaan itu menunjukkan kestabilan politik Kerajaan MADANI menjadikan Malaysia lebih dihormati dan dipercayai sebagai rakan strategik.
“Bila politik kita stabil, ekonomi kukuh, orang luar hormat kita. Sebab itu bila ada pergaduhan di rantau ini, Malaysia diminta masuk sebagai pendamai. Itu satu penghormatan besar yang dunia berikan kepada kita,” katanya.
Tambah beliau, pengiktirafan itu hasil usaha bersama jentera kerajaan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pegawai diplomatik, yang segera turun padang memastikan perjanjian damai Thailand-Kemboja dilaksanakan.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.