KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Penambahbaikan Skim Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam disifatkan sebagai langkah tepat pada masanya.
Penganalisis Pertahanan, Zaki Salleh menyifatkan inisiatif kerajaan itu amat signifikan kerana selaras dengan keperluan semasa untuk melahirkan anggota berkualiti, seiring perkembangan teknologi pertahanan moden.
Peluasan kelayakan masuk skim tugas khusus kepada bidang seperti Kor Kejuruteraan, Kor Agama dan Kor Perubatan, katanya, membuka peluang kepada individu dengan latar akademik baik serta berkemahiran pelbagai untuk menyertai ATM dalam peranan lebih khusus.
Penganalisis Pertahanan, Zaki Salleh
“Seperti angkatan tentera negara maju, ATM kini sedang melalui fasa evolusi teknologi. Kelengkapan pertahanan seperti dron, gajet elektronik dan kenderaan berteknologi tinggi memerlukan anggota yang memiliki kepakaran khusus.
"Penambahbaikan skim ini memenuhi keperluan tenaga kerja profesional dan separa profesional dalam ATM, sekali gus meningkatkan tahap profesionalisme di unit-unit yang memerlukan kepakaran tertentu,” jelasnya ketika dihubungi RTM.
Dalam masa sama, beliau turut mengalu-alukan langkah kerajaan memperluas Insentif Berasaskan Prestasi (BIPs) kepada pangkat Sarjan (Gred Z4) dan Staf Sarjan (Gred Z5), selain memendekkan tempoh kelayakan insentif daripada enam tahun kepada empat tahun.
Katanya, perubahan itu mampu melonjakkan moral anggota kerana mereka menikmati skim lebih baik serta selari dengan realiti ekonomi semasa.
“Profesionalisme dan kepakaran anggota ATM akan lebih menyerlah melalui skim yang lebih dinamik dengan laluan kerjaya yang terancang. Inisiatif ini juga dijangka menarik lebih ramai anggota untuk berkhidmat lebih lama, sekali gus mengurangkan kadar pemberhentian awal,” ujarnya.
Zaki menambah, penambahbaikan itu turut memberi kesan jangka panjang apabila anggota yang bersara kelak berpeluang menikmati ambang gaji lebih baik, sekali gus meningkatkan kesejahteraan hidup pesara ATM.