(Ahmad Zahid pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Kawalan
Keganasan (JPTKK) 2023 di Putrajaya)
PUTRAJAYA, 11 Mei- Malaysia berada di kedudukan ke-75 tahun lalu berdasarkan Indeks Keganasan Global (GTI) yang menjadi ukuran keganasan global dunia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia merupakan prestasi baik dalam menangani keganasan berbanding tangga ke-68 pada tahun sebelumnya.
“Pada 2016, sebanyak 126 individu disyaki pengganas ditangkap dan setahun kemudian, angka itu menurun kepada 107. Ini kerana pencegahan dan penguatkuasaan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta langkah yang dilakukan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Ia menurun lagi apabila pandemik COVID-19 pada 2020 dan pada tahun lalu hanya dua kes tangkapan (berkait dengan aktiviti keganasan pada tahun 2022)," katanya pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Kawalan Keganasan (JPTKK) 2023 di Putrajaya.
Tambah beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, langkah pencegahan perlu dilakukan, khususnya untuk mengelakkan perbezaan fahaman politik, ketaksuban perkauman dan sikap perkauman yang menebal.
Setakat Mac lepas, Malaysia telah meratifikasi sebanyak 10 instrumen keganasan daripada keseluruhan 19 instrumen dalam usaha menyokong langkah menangani keganasan di peringkat antarabangsa.
(Foto hiasan)