KUALA LUMPUR, 11 Mei - Malaysia sudah bersedia untuk melaksanakan percubaan klinikal ke atas manusia, dalam menguji ubat, prosedur atau rawatan baharu berbanding sebelum ini hanya dilakukan dalam makmal atau menggunakan haiwan.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata fasa percubaan klinikal ke atas manusia yang pertama atau First-in-human (FIH) sudah dimulakan di Sarawak awal bulan lalu selepas mendapat kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Beliau berkata, selain Hospital Besar Sarawak sebuah lagi pusat penyelidikan bagi disiplin itu akan dilaksanakan di Hospital Ampang.
"Kita menggalakkan lebih banyak kajian atau syarikat-syarikat yang mahu memperkenalkan rawatan mereka melakukan FIH. Kita ada kemudahan, disiplin bila kita laksanakan kajian tersebut dan ini sebenarnya menarik minat banyak syarikat-syarikat untuk melakukan FIH di Malaysia," katanya pada sidang media selepas melancarkan Hari Penyelidikan Klinikal 2023 dan forum anjuran Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM), di sini.
Tambah Dr Zaliha, dengan adanya fasiliti dan disiplin FIH di negara ini ia berupaya menyumbang kepada pembangunan perubatan, sains, dan kewujudan terapi baharu menerusi kaedah penyelidikan klinikal pada masa depan.