KOTA TINGGI, 11 Mei- Proses pencarian tiga kru kapal MT Pablo yang terbakar pada 1 Mei di Perairan Tanjung Sedili, Johor masih diteruskan.
Pencarian melibatkan kawasan perairan Pantai Timur Johor sehingga perairan Pahang serta selatan Johor.
Operasi pencarian tersebut diteruskan dengan melibatkan kerjasama Indonesia dan Singapura.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Madya Maritim Hamid Mohd Amin memaklumkan, siasatan sehingga kini mendapati tiada unsur jenayah dilapor berkaitan kes tersebut.
(Foto fail memaparkan kapal MT Pablo yang terbakar pada 1 Mei di Perairan Tanjung Sedili, Johor)
"Kita dapati tiada kes jenayah yang berlaku sebab itu kita buat keputusan kita serahkan seterusnya kepada Jabatan Laut untuk meneruskan proses. Selepas kita siasat semalam, kita hantar pasukan anti bom dan juga polis serta bomba," katanya pada Majlis Penutupan Operasi Redback ke-18 di Dewan Pusat Komuniti Tanjung Sedili, Kota Tinggi.
Dalam majlis tersebut beliau turut memperincikan bahawa sebanyak 61 pemeriksaan dilakukan ke atas 57 motor vessel dan empat bot nelayan tempatan dalam Operasi Redback.
Operasi itu dilaksanakan oleh APMM dengan kerjasama Australian Border Force (ABF) bermula 1 Mei lalu.
Sepanjang tempoh sehingga semalam, tiada kesalahan membabitkan bot dan kapal yang diperiksa.