SEPANG, 24 April - Malaysia berada di landasan tepat dalam usaha memerangi rasuah dan memastikan tadbir urus yang lebih telus dan berintegriti.
Menurut Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, keyakinan itu disandarkan kepada pelbagai inisiatif yang telah dilaksana.
Antara inisiatif utama termasuk penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional, serta pelancaran Strategi Antirasuah Nasional (NACS) 2024-2028 yang diperkenalkan tahun lalu.
"Inisiatif yang diperkenalkan akan meningkatkan ketelusan dengan menerapkan prinsip integriti dan akauntabiliti dalam semua sistem dan prosedur yang berkaitan, yang mengawal selia kedua-dua sektor awam dan korporat di Malaysia," kata Shamsul Azri ketika berucap pada Sesi Meja Bulat Bersama Ketua Setiausaha Negara Berhubung Agenda Nasional Tadbir Urus Baik di Hotel Sama-Sama, di sini.
Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan usaha bersepadu agar meneruskan pelaksanaan inisiatif tadbir urus baik sebagai agenda penting dalam mencegah rasuah, sekali gus merangsang produktiviti dan pertumbuhan ekonomi negara.
Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.
Sementara itu, laporan prestasi suku pertama bagi 27 Ketua Setiausaha (KSU) dijangka akan dibentangkan kepada Shamsul Azri awal bulan hadapan.
Menurutnya, ia merupakan sebahagian daripada usaha bagi menginstitusikan sistem pemantauan perkhidmatan awam yang lebih dinamik dan berasaskan data.
Laporan itu menandakan satu pencapaian penting dalam pelaksanaan penuh Sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP).
"Sebagai pemangkin Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), DEEP berperanan sebagai alat berasaskan data yang berkesan dalam menyokong pencapaian lima bidang hasil reformasi. Dengan skop penilaian yang luas merangkumi pengurusan kewangan, integriti, kepimpinan, dan impak program, DEEP menjadi faktor pendorong penting ke arah penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, telus dan berfokuskan hasil," katanya.
Mengulas lanjut, DEEP memperkenalkan elemen "remerit" yang bukan sahaja mengenakan penalti terhadap prestasi rendah tetapi juga memberi ganjaran kepada penambahbaikan positif dan pematuhan konsisten terhadap penanda aras tadbir urus.