SEPANG, 24 April - Tindakan sewajarnya akan diambil berhubung kesilapan pemaparan Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diedarkan hari ini selepas laporan lengkap diperoleh.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM) Datuk Dr Aminuddin Hassim telah diarahkan untuk menyediakan laporan terperinci mengenai insiden berkenaan.
Beliau turut menegaskan reka bentuk bendera negara seharusnya dihasilkan dengan ketelitian dan lebih berhati-hati dan tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada teknologi kecerdasan buatan (AI).
"Saya rasa isunya ialah, apabila reka bendera sendiri, kita perlu reka betul-betul. Kita mesti fahami semangat di sebalik bendera itu sendiri. Kita mestilah berhati-hati, apa sahaja yang kita mahu hasilkan, terutamanya untuk liputan media, perlu semak betul-betul," kata Shamsul Azri kepada pemberita selepas Sesi Meja Bulat Bersama KSN Berhubung Agenda Nasional Tadbir Urus Baik, di sini.
Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai.
Terdahulu, KPM dilaporkan sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kesilapan pemaparan Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM yang diedarkan hari ini.
Susulan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tiada layanan dua darjat dalam isu membabitkan insiden paparan bendera tidak lengkap dan siasatan akan dijalankan terhadap pihak terlibat.
Anwar juga menegaskan bahan penerbitan berkaitan simbol negara tidak boleh bergantung kepada AI dan perlu melalui pemeriksaan teliti.