fb fb fb fb fb

Malaysia dan Indonesia mulakan perbincangan mengenai pembekuan penghantaran tenaga kerja

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 18 Julai - Kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) sudah mengadakan perbincangan dengan pihak Indonesia berkenaan masalah pengambilan pekerja asing dari negara republik itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata ini bagi memastikan segala salah faham yang ada dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Suka untuk saya ingatkan bahawa kita mewakili kerajaan akan sentiasa memastikan pengurusan pekerja asing di Malaysia sentiasa berlandaskan kepada kedaulatan undang-undang negara.

"Pada masa yang sama menjamin bahawa semua pekerja asing yang berada di Malaysia dilindungi secara saksama mengikuti undang-undang yang ada dalam negara kita," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatan Kuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ketujuh Bilangan 1 Tahun 2022 di Bukit Aman, di sini.

(Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (kiri) dan Menteri Sumber Manusia,
Datuk Datuk Seri M Saravanan (kanan) dalam sidang media di Bukit Aman)

Berkuatkuasa 13 Julai lalu, Indonesia membekukan sementara penghantaran tenaga kerjanya ke Malaysia dengan mendakwa Jabatan Imigresen Malaysia masih menggunakan Sistem Maid Online.

Tindakan itu didakwa melanggar syarat-syarat dalam MOU pengambilan dan perlindungan pekhidmatan domestik Indonesia di Malaysia.

Dalam pada itu, Hamzah berkata Mesyuarat Jawatankuasa bersama antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing turut memberi kelulusan pengambilan pekerja asing dari 15 negara melibatkan pelbagai sektor ekonomi.

Katanya, mesyuarat juga bersetuju meneliti kesesuaian semua sektor pekerja asing termasuk subsektor yang telah dibekukan.

"Bagi memenuhi keperluan industri, mesyuarat juga bersetuju untuk membenarkan pekerja asing digajikan dalam subsektor yang dahulu kita bekukan, iaitu barang lusuh dan subsektor dobi.

"Antara lain, kita juga bersetuju untuk membenarkan pekerja asing dari semua 15 negara sumber untuk bekerja dalam sektor perkilangan, pembinaan dan perkhidmatan. Ini perkara baru yang kita teliti dan bersetuju dalam mesyuarat tersebut," katanya.

Media Baharu