fb fb fb fb fb

Usul Sulu ditolak, Dewan Rakyat kecoh

(Tan Sri Azhar Azizan Harun)

KUALA LUMPUR, 18 Julai-Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun mengesahkan terdapat unsur subjudis sehingga usul berhubung tuntutan waris Sultan Sulu ke atas Sabah ditolak untuk dibahaskan.

Menurutnya, usul tergempar mengenai pelupusan aset Petronas yang dirampas Sulu di Azerbaijan juga pernah dibincangkan pada sesi sebelum ini.

Ia mendapat penerangan panjang lebar daripada menteri yang bertanggungjawab iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

"Tentang subjudis, saya menerima pandangan undang-undang yang ia sememangnya subjudis kerana terdapat satu atau dua prosiding yang masih lagi berjalan.

"Peraturan mesyuarat amat terang dalam perkara ini dan saya mesti memakainya," katanya.

Penolakan usul itu mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat sehingga menyebabkan bacaan kedua Rang Undang-Undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan terganggu.

Dewan Rakyat kecoh selama lebih setengah jam selepas Ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati mengenai usul berhubung tuntutan waris Sultan Sulu ke atas Sabah ditolak sebanyak tiga kali oleh Yang Dipertua, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Kekecohan bermula apabila Isnaraissah Munirah Majilis@Fakharudy (WARISAN-Kota Belud) membangkitkan Peraturan Mesyuarat 18(1) selepas sesi Pertanyaan Jawab Lisan tamat dan menyatakan kecewa mengenai penolakan usul berkenaan buat kali ketiga.

Kekecohan terus berlaku sehingga Timbalan Yang Dipertua, Datuk Mohd Rashid Hasnon mengambil alih tugas mempengerusikan mesyuarat.

Mohd Rashid mengarahkan Isnaraissah untuk duduk, namun Ahli Parlimen itu enggan dan terus mendesak supaya usul mengenai tuntutan waris Sultan Sulu diterima.

Mohd Rashid mengarahkan beliau keluar Dewan dan digantung daripada menghadiri mesyuarat selama dua hari.

(Penolakan usul itu mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat sehingga menyebabkan bacaan kedua
Rang Undang-Undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 oleh
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan terganggu)


Tindakan itu membawa lebih kekecohan apabila Ahli Parlimen pembangkang terus mengkritik keputusan itu.

Mereka menggesa supaya usul itu dibahaskan dengan mendesak Mohd Rashid menarik semula keputusan menggantung Ahli Parlimen Kota Belud itu.

Mohd Rashid kemudian menarik balik keputusan menggantung Isnaraissah dengan syarat beliau mengikut peraturan yang ditetapkan.

Media Baharu