fb fb fb fb fb

Tindakan tegas akan diambil kepada individu hina agama Islam

KUALA LUMPUR, 18 Julai- Perbuatan menghina agama boleh menggugat keharmonian negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana individu yang menghina kesucian Islam, berlandaskan undang-undang syariah.

Jelasnya, Jabatan Agama Islam Negeri diminta untuk membuka kertas siasatan segera jika terdapat aduan berkenaan penghinaan agama yang mampu memesongkan akidah ummah.


(Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad)

"Kita perlu menyedarkan, mungkin mereka bercakap itu kadang-kadang mereka anggap tiada apa-apa. Jadi sebab itu kita kena maklumkan perkara dikatakan ini perkara yang bahaya.

“Orang Melayu kita sangat sensitif dalam bab agama, jadi jika mahu buat lawak atau jenaka di Facebook dan Youtube jangan menyentuh hal-hal berkaitan Islam", katanya selepas merasmikan Seminar Pencegahan Jenayah Syariah Peringkat Kebangsaan 2022 di Masjid Wilayah.

Mengulas mengenai keruntuhan institusi keluarga akibat arak dan judi sehingga menyumbang kepada peningkatan jenayah dera, zina, rogol dan langgar lari, beliau berkata, pihaknya telah mengambil tindakan secara advokasi dan nasihat bagi mengekang perkara tersebut daripada menjadi barah.

"Salah satu tindakan daripada pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) adalah meletakkan van penguatkuasaan di kawasan panas tempat perjudian dan pelacuran", katanya.

Selain itu, Jawatankuasa Pemandu Menangani Ajaran Sesat Peringkat Kebangsaan (JAPAS) di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga sentiasa memantau sebarang aktiviti terpesong yang mampu menjejaskan keharmonian negara.

Media Baharu