fb fb fb fb fb

Malaysia dan China tandatangan MoU bangun bidang Perubatan Tradisional

(Malaysia dan China menandatangani MoU dalam bidang Perubatan Tradisional secara dalam talian) 

PUTRAJAYA, 31 Mac - Malaysia dan China hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang Perubatan Tradisional bagi membangun dan memperkukuhkan lagi bidang tersebut di negara ini.

Perjanjian itu ditandatangani Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Komisioner Pusat Perubatan Tradisional Cina Kebangsaan (NATCM), Dr. Yu Wen Ming secara dalam talian, di sini.

Khairy dalam ucapannya berkata, perjanjian tersebut merupakan komitmen kerajaan untuk mempermudah dan mempromosi kerjasama kedua-dua negara dari segi amalan, bahan mentah dan produk, pendidikan dan latihan serta penyelidikan dalam perubatan tradisional.

Ujarnya, pengetahuan dan kepakaran luas yang dimiliki China dalam bidang tersebut dapat memberi manfaat kepada negara dalam aktiviti penyelidikan termasuk dari aspek pencegahan dan rawatan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit.

(Khairy pada majlis menandatangani MoU antara Malaysia dan China di Putrajaya)

Hasil kajian tersebut seterusnya dapat membantu kerajaan dalam menetapkan dasar yang bersesuaian untuk mengurangkan beban penyakit di Malaysia.

"Kementerian Kesihatan Malaysia komited membangunkan bidang perubatan tradisional dan komplementari dengan visi untuk mengintegrasikannya dengan bidang perubatan moden sebagai suatu usaha meningkatkan kesihatan dan kualiti hidup semua rakyat Malaysia.

"Bagi mencapai visi ini, industri perubatan tradisional dan komplementari akan diprofesionalkan dengan memastikan perkhidmatan perubatan tradisional dan komplementari adalah selamat, berkualiti dan boleh diakses oleh semua," katanya.

Tambah Khairy, perjanjian itu juga selaras dengan aspirasi kerajaan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengiktiraf sumbangan sistem perubatan tradisional dalam melengkapkan sistem perubatan konvensional.

Turut hadir pada majlis tersebut, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Media Baharu