fb fb fb fb fb

Etika, integriti dan profesionalisme perguruan perlu dipertahan

KUALA NERUS, 31 Mac- Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu dilancarkan malam tadi, perlu menjadi landasan mengingatkan para guru mengenai etika, integriti dan profesionalisme dalam bidang kerjaya mereka itu.

Gerakan yang mula diperkenalkan tahun 2018 itu adalah sebahagian pendekatan bagi membawa masyarakat bersama-sama menginsafi segala pengorbanan, jasa dan ilmu dicurahkan guru, kepada anak didik mereka.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Doktor Radzi Jidin berkata, ia juga merupakan usaha murni permuafakatan antara ibu bapa dengan warga pendidik dalam mewujudkan ekosistem sekolah yang harmoni dan mesra.

Selain itu, golongan pendidik juga perlu menyedari, bidang profesion mereka amat dipandang tinggi serta dihormati oleh masyarakat.

"Adalah amat penting supaya guru-guru terus mempertahankan penghormatan yang diberikan oleh masyarakat, dengan memastikan segala tindak tanduk, tingkah laku dan pendekatan yang diambil itu adalah satu pendekatan yang penuh beretika berdasarkan etika perguruan yang juga terus mempertahankan integriti perguruan itu sendiri.

"Jadi ini amat penting kerana masyarakat memandang tinggi kepada profesion perguruan," kata Radzi.

Beliau berkata demikian selepas berucap dan menyempurnakan pelancaran Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu, peringkat kebangsaan 2022 sempena Sambutan Hari Guru ke-51 di Kuala Nerus, Terengganu, malam tadi.

Terdahulu beliau turut mengumumkan tema sambutan Hari Guru pada tahun ini adalah 'Guru Tunjang Sekolah Sejahtera'.

Selain itu beliau juga menyempurnakan penyampaian hadiah kemenangan Pertandingan Bahas Guru Kementerian Pendidikan-KPM Peringkat Kebangsaan 2022 Anjuran Gerakan Massa, baharu-baharu ini.

Pada pertandingan tersebut, wakil guru dari Sabah muncul selaku juara dan membawa pulang piala pusingan serta wang tunai berjumlah RM5,000.

Manakala Kelantan diumumkan sebagai naib juara dan membawa pulang RM4,000, diikuti Selangor serta Wilayah Persekutuan Putrajaya,masing-masing di tangga ketiga dan keempat.


(Sabah muncul juara Pertandingan Bahas Guru Kementerian Pendidikan-KPM Peringkat Kebangsaan 2022)

Media Baharu