fb fb fb fb fb

Malaysia dan 12 negara lain secara rasmi sertai BRICS

Foto X BRICKS

KUALA LUMPUR, 24 Oktober- Malaysia dan 12 negara lain secara rasmi menyertai  BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) sebagai negara rakan baharu. 

@BRICSInfo menerusi satu hantaran di X memaklumkan blok itu secara rasmi menambah 13 negara anggota baharu 

Selain Malaysia, 12 negara lain termasuk Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.

Pada 28 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan Malaysia mengemukakan permohonan kepada Rusia untuk menyertai pertubuhan antara kerajaan BRICS.

Manakala Pada 18 Jun lepas, Anwar mengesahkan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS semasa perbincangan dengan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva.

BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun dan Afrika Selatan menyertainya pada 2010 secara kolektif menyumbang satu per lima kepada perdagangan global.

Blok itu telah berkembang dengan meliputi Iran, Mesir, Ethiopia, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Sementara itu Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dijadualkan menyampaikan Kenyataan Negara pada Sidang Kemuncak BRICS Outreach/BRICS Plus di Kazan, Rusia hari ini yang kini mempengerusikan blok itu.

BRICS mewakili kira-kira 40 peratus daripada populasi global dan menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terkumpul US$26.6 trilion atau 26.2 peratus kepada KDNK dunia.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI