PUTRAJAYA, 24 Oktober - Malaysia menekankan kepentingan pengintegrasian dasar inklusif dalam rangka kerja pengurusan bencana ASEAN untuk membina komuniti yang lebih berdaya tahan.
Penekanan tersebut disampaikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) kali ke-12 yang diadakan di Brunei, bermula semalam hingga esok.
Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, berkata di peringkat ASEAN Malaysia aktif menyokong Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN (AHA Centre) serta terlibat dalam latihan dan simulasi seperti Latihan Simulasi Kecemasan Bencana Serantau ASEAN (ARDEX) dan Pelan Tindak Balas Bencana Bersama ASEAN (AJDRP).
Selain akan memperhebatkan penyertaan dalam mekanisme serantau seperti ASEAN Standby Arrangements (SASOP) yang memastikan respons kecemasan bencana dapat diselaraskan dengan cekap dan tepat pada masanya.
Ini termasuk penilaian aset dan keupayaan negara untuk menyokong tindak balas serantau yang lebih pantas dan berkesan.
"Cabaran perubahan iklim telah meningkatkan keperluan mendesak dalam usaha kita terhadap daya tahan bencana. Corak cuaca yang tidak menentu dan kejadian ekstrem yang semakin kerap menjadikan tindak balas serantau yang bersatu lebih penting berbanding sebelumnya. Malaysia tetap komited untuk memperkukuh daya tahan bersama kita, berlandaskan solidariti dan sokongan bersama," kata Ahmad Zahid.
Jelasnya lagi, negara ini akan terus menyelaraskan strategi dari Persidangan Menteri Asia Pasifik Mengenai Pengurangan Risiko Bencana (APMCDRR) yang telah berlangsung di Manila baru-baru ini, sekali gus membantu memperkukuh daya tahan kolektif ASEAN dalam menghadapi cabaran baharu.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata Malaysia komited dalam memperkukuh daya tahan bencana melalui inisiatif bersifat tempatan dan serantau.
Ini termasuk Dasar Pengurangan Risiko Bencana 2030 serta program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) yang melibatkan kumpulan rentan seperti wanita, warga emas, dan orang kurang upaya (OKU).
Menurut beliau dasar dan program jelas menunjukkan komitmen dan tindakan negara terhadap pengurusan risiko bencana dengan tumpuan terhadap mitigasi risiko.
"Kami juga telah membangunkan sistem pengurusan bencana bersepadu yang menggunakan teknologi canggih dan analitik data. Contoh utama adalah Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), yang mampu meramalkan banjir sehingga tujuh hari lebih awal dan mengeluarkan amaran kepada orang awam dalam tempoh 48 jam.
"Sistem ini membolehkan kami bertindak balas terhadap bencana dengan lebih berkesan dan secara terkoordinasi." kata Ahmad Zahid.