KOTA TINGGI, 24 Oktober-Perolehan empat helikopter sewaan UH-60A Black Hawk kepada Tentera Darat Malaysia (TDM), mungkin dibatalkan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia susulan proses penghantaran aset-aset berkenaan gagal dibuat dalam tempoh dipersetujui sehingga Rabu ini.
Jelas beliau, TDM diminta untuk mencari aset udara alternatif, susulan pembatalan kontrak penghantaran tersebut.
"Kita perlu memahami bahawa Black Hawk yang awal itu hanyalah untuk disewa, dan hanya dalam tempoh lima tahun dan bukannya untuk dibeli secara kekal.
"Saya telah minta pihak TDM untuk mencari alternatif lain",katanya demikian selepas menghadiri Eksesais Panah Jaguh Siri Kedua 2024, di Lapang Sasar Tanjung Logok, di sini.
Pada Mei tahun lepas, Kementerian Pertahanan (MINDEF) menandatangani kontrak sewaan lima tahun bagi empat helikopter terbabit, bernilai RM187 juta.
Manakala Ogos lalu, MINDEF telah menerima maklum balas Pejabat Peguam Negara, berhubung cadangan pembatalan kontrak sewaan Black Hawk untuk TDM.