fb fb fb fb fb

Kraftangan Kelantan rekod hasil jualan cecah RM46 juta

Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan, Nariman Yusoff / Foto RTM

KOTA BHARU, 24 Oktober - Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan merekodkan hasil jualan mencecah RM46 juta sehingga September lalu.
 
Pengarahnya, Nariman Yusoff berkata hasil jualan berkenaan merupakan 70 peratus daripada sasaran ditetapkan untuk negeri Kelantan sepanjang tahun ini, iaitu sebanyak RM57 juta.
 
Nilai jualan yang dicatatkan itu disumbangkan oleh lima bidang utama kraf meliputi tekstil terutamanya batik, hasil logam, hasil rimba, hasil tanah dan pelbagai aneka produk kraf yang lain.
 
"Kelantan ini memang produk utamanya adalah batik. Kalau diikutkan dari segi bilangan usahawan pun daripada 570 usahawan, lebih 300 terdiri daripada pengeluar dan juga pedagang batik dan yang kedua tertinggi di Kelantan ini adalah usahawan dalam bidang logam macam perak, katanya ketika ditemui pemberita pada Program Sempena Promosi Kraf Malaysia di sebuah pasar raya di sini.
 
Mengenai program tersebut, Nariman berkata program berlangsung selama 10 hari bermula hari ini, dan ia mendapat penyertaan daripada 19 usahawan kraf dari seluruh negeri termasuk Melaka, Pulau Pinang, Sabah, dan Negeri Sembilan.
 
Antara produk yang ditampilkan adalah seperti produk batik, hasil rimba, perabot kayu, dan aksesori logam.

Pihaknya menyasarkan hasil jualan sebanyak RM320,000 sepanjang program berkenaan berlangsung.

Trainee2