fb fb fb fb fb

Misi bawa Asmah pulang: Dana terkumpul kini RM280,000

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar/RTM

KUALA LUMPUR, 15 November –Sebanyak RM280,000 berjaya dikumpul sejak empat hari lalu melalui tabung kutipan misi membawa pulang jemaah haji Malaysia, Asmah Mansor, 71 tahun, yang kini menerima rawatan intensif di Saudi German Hospital, Makkah akibat Pneumonia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, menjangkakan sasaran kutipan RM500,000 mampu dicapai selewat-lewatnya minggu hadapan.

keyakinan itu bersandarkan sifat pemurah rakyat Malaysia yang sentiasa bersedia membantu golongan memerlukan.

“Dengan fasa yang kita lalui ini, saya yakin insya-Allah dalam masa terdekat kita boleh membawa pulang beliau (Hajah Asmah).

"Saya sedih bila beliau berbisik kepada saya, memohon agar dibawa pulang segera. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mendengar dan menyahut seruan ini. Saya berharap mereka akan terus menyumbang supaya kita dapat pastikan Hajah Asmah dapat pulang dan menerima rawatan di sini,” katanya demikian selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Ke-18 Kolej Profesional MAIWP di ibu negara.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan bantuan melalui Tabung Musaadah JAKIM-YWM, bagi menjayakan misi yang memerlukan kos tinggi termasuk kelengkapan perubatan khas untuk membawa pulang jemaah kritikal ini.

Asmah Mansor telah menerima rawatan sejak 13 September lalu dan masih bergantung kepada sokongan alat pernafasan (ventilator) sepanjang masa, termasuk semasa penerbangan, bagi memastikan keadaan kesihatannya stabil.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD