KUALA LUMPUR, 15 November - Pelaksanaan tiga dasar utama kerajaan dilihat berjaya meletakkan Malaysia di landasan ekonomi yang tepat sekaligus membawa kesan positif kepada pembangunan negara.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Capital Dynamics Tan Teng Boo, antaranya termasuk Pelan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) yang kini menjadi pemacu utama daya saing negara dalam sektor bernilai tinggi itu.
"Pertama sekali, Pelan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), ia sudah lama kita perlukan. Ini merupakan sektor paling penting bagi ekonomi Malaysia. Jika strategi ini dilaksanakan dengan betul, Malaysia akan mencapai kejayaan besar.
Jadi, keutamaan utama ialah Pelan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), bersama semua inisiatif lain yang menyokong pembangunan sektor semikonduktor.” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita RTM pada Hari Pelabur 2025 icapital.biz Berhad "Menemui Hari Pelabur ibarat Menemui Emas" pada Sabtu.
Mengulas lanjut, ujarnya, langkah kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah turut menjadi elemen penting dalam memperkukuh struktur ekonomi negara.
Menurutnya, penurunan kira-kira 300,000 pekerja asing, berbanding sekitar 600,000 orang sebelum ini, mencerminkan keberkesanan dasar semasa dalam mengalihkan ekonomi Malaysia ke arah sektor berproduktiviti tinggi yang dapat menawarkan gaji lebih baik kepada rakyat.
"Dengan pengurangan pekerja asing berkemahiran rendah, ekonomi dapat bergerak ke arah nilai tambah lebih tinggi. Ini penting untuk memastikan Malaysia menjadi ekonomi maju dengan pendapatan lebih mapan," ujarnya.
Dalam pada itu, perkembangan pengeluaran kenderaan elektrik (EV) tempatan memainkan peranan besar dalam memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri automotif global.
"Dalam industri automotif dunia, jika anda tidak melancarkan EV sekarang, dalam lima hingga 10 tahun, kereta tradisional akan pupus," katanya lagi.