ROTORUA, 15 Julai - Malaysia berhasrat mencontohi pendekatan masyarakat Maori di New Zealand dalam usaha memperkasakan komuniti orang asli, khususnya dari segi pembangunan sosioekonomi dan pendidikan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, lima inisiatif utama telah dikenal pasti berdasarkan kejayaan masyarakat Maori dalam memelihara hak serta memajukan komuniti mereka.
Antara inisiatif tersebut ialah cadangan penubuhan Majlis Perniagaan Orang Asli, yang akan dibincangkan bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), serta mempertimbang untuk menubuhkan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khusus bagi komuniti Orang Asli.
"Saya telah mendapat persetujuan daripada Exco berkaitan di Melaka dan akan berbincang secara terperinci bagi mewujudkan perkampungan orang asli di Melaka, yang berpotensi dipromosikan sebagai destinasi pelancongan antarabangsa."
"Peruntukan khas untuk tujuan promosi dan pembangunan kawasan tersebut juga akan disediakan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri sesi meja bulat bersama pemimpin perniagaan Maori di Rotorua, New Zealand.
Antara langkah lain yang bakal dilaksanakan ialah penubuhan skim seperti Amanah Ikhtiar Malaysia bagi menyediakan pembiayaan mikro kepada masyarakat orang asli.
Dalam masa sama, kerajaan juga menekankan kepentingan meningkatkan penyertaan anak-anak orang asli dalam pendidikan tinggi sebagai antara fokus utama.
Semua inisiatif tersebut akan dipantau sebuah jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor.