PUTRAJAYA, 11 Julai - Malaysia dan China sepakat merapatkan jurang dagangan serta memperluas kerjasama dalam pelabuhan, Gas Asli Cecair (LNG), air, ekonomi digital dan teknologi hijau.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen itu dizahirkan menerusi perbincangan dua hala bersama Menteri Luar China, Wang Yi di Pejabat Perdana Menteri hari ini.
“China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut dengan jumlah dagangan mencecah AS$106 bilion pada tahun 2024.
“Kami meneroka usaha merapatkan jurang dagangan dan memperluas kerjasama dalam pelabuhan, LNG, air, ekonomi digital dan teknologi hijau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perbincangan itu turut menyentuh pelbagai aspek hubungan dua hala Kuala Lumpur-Beijing yang dijangka terus diperkukuh menerusi lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia pada April 2025.
Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri turut menghargai sokongan China terhadap Konsensus Lima Perkara ASEAN berhubung Myanmar.
Tegasnya, isu Laut China Selatan perlu diselesaikan secara damai berpandukan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).
Wang Yi merupakan antara lima Menteri Luar yang mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM ke-58) di Kuala Lumpur.