NANNING, 17 September - China kekal menjadi rakan dagang terbesar negara sejak 14 tahun lalu dengan nilai dagangan mencecah USD 110.62 billion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hubungan baik itu akan dikekalkan dengan China, memberi sokongan kepada Malaysia dalam menjayakan Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 atau New Industrial Master Plan 2030.
"Dulu semua pandangan mereka tentang profesional, jurutera, teknikal, pakar teknologi maklumat, Malaysia itu sangat baik, dedikasi. China kekal rakan terbesar kita, tetapi yang agak ketara kekurangan adalah peningkatan kemahiran di peringkat tertinggi. Jadi dalam semua perbincangan termasuk dengan yang membangunkan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), semua saya tekankan syarat supaya tambahkan usaha penyelidikan di Malaysia dan juga latihan khusus yang harus disegerakan untuk anak-anak Malaysia," kata Perdana Menteri, di sini.
Dalam pada itu, kedua-dua buah negara turut menyambut baik perkembangan kerjasama menerusi projek Belt and Road Initiative (BRI).
Ia termasuk cadangan menaik taraf Projek Taman Perindustrian Kuantan Malaysia - China, ECRL dan penerokaan kerjasama susulan antara DRB Hicom dan Geely khusus salam aspek kenderaan elektronik dan bidang berteknologi tinggi.
Beliau ditemui dalam sidang media selepas mengakhiri lawatan kerja sehari ke Nanning China bersempena Ekspo China ASEAN CHAEXPO ke20.
(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)
Sementara itu, Anwar berkata Malaysia-China bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam empat bidang berkepentingan khususnya dalam bidang sains dan teknologi.
Ini adalah penting bagi memastikan negara bergerak selari dengan perkembangan semasa selain menjadikan China sebagai rujukan dalam bidang berkenaan.
"Bagi kita, kita ambil pendekatan yang lebih pragmatik, mengapa dengan China, sebab negara China ini kukuh. Pelaburannya lebih besar. Keupayaan import Malaysia lebih tinggi dan perancangan dua hala yang baik. Jadi bidang-bidang ini penting. Hubungan Malaysia selama berbelas tahun. Tetapi bukan lah gambaran seolah kita kurang perhatian kepada negara lain seperti Amerika Syarikat, India, Australia, itu kekal kita tingkatkan," kata Anwar, di sini.
Tiga bidang lain yang turut diberi perhatian termasuklah akademik, yang merangkumi Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan kerjasama dalam penyelidikan antara universiti kedua- dua buah negara.
Turut diberi keutamaan adalah komoditi dan industri berasaskan pertanian dan sistem perhubungan negara merangkumi sektor pelancongan dan peningkatan kadar kekerapan penerbangan Malaysia China.