fb fb fb fb fb

Malaysia catat kemajuan positif dalam pencapaian SDG

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 19 Februari – Malaysia mencatat perkembangan positif dalam pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) apabila 12 daripada 17 aspek yang digariskan menunjukkan trend peningkatan.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata antara aspek yang mencatat kemajuan ialah pengurangan kemiskinan, kesaksamaan gender, serta tenaga mampu milik dan bersih.

Menerusi SDG Kemiskinan, kadar kemiskinan mutlak negara dilaporkan menurun kepada 6.2 peratus, mencerminkan keberkesanan langkah-langkah pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan kerajaan.

Bagi kesaksamaan gender, pelaksanaan Akta Antigangguan Seksual 2022 serta pengoperasian Tribunal Antigangguan Seksual diharap dapat memberikan perlindungan menyeluruh kepada mangsa gangguan.

Dalam aspek SDG Tenaga Mampu Milik dan Bersih, Malaysia mencatat prestasi cemerlang dengan peningkatan akses tenaga elektrik kepada rakyat.

“Berdasarkan analisis terkini menggunakan data tahun 2022, sasaran penyampaian penggunaan mampan negara menjelang 2030 diunjurkan pada kadar 43 peratus, jauh lebih tinggi berbanding purata global 17 peratus.

"Analisis seterusnya akan dilaksanakan pada tahun 2025 menggunakan data 2023. Secara umumnya, 12 daripada 17 SDG menunjukkan trend positif,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini.

Namun begitu, Hanifah turut menggariskan beberapa cabaran utama dalam merealisasikan SDG, antaranya tadbir urus yang berkesan, kapasiti pembiayaan yang terhad, pelaksanaan yang memerlukan penyelarasan semua pihak serta penyediaan infrastruktur yang mencukupi.

Hanifah turut menegaskan kejayaan SDG memerlukan sokongan dan penyertaan daripada semua pihak.

“SDG merupakan inisiatif bagi memastikan kelangsungan hidup masyarakat demi kemakmuran sejagat. Oleh itu, semua pihak perlu memainkan peranan dan meningkatkan kerjasama bagi memastikan pelaksanaannya yang lebih berkesan untuk kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN