fb fb fb fb fb

Malaysia boleh contohi kejayaan Ethiopia dalam memajukan ekonomi

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri Ethiopia, Dr. Abiy Ahmed Ali (kiri) dalam lawatan rasmi beliau ke Malaysia di Seri Perdana hari ini/Foto PMO

PUTRAJAYA, 26 Oktober - Malaysia boleh meraih pelbagai pelajaran berharga dari Ethiopia dalam usaha memperkukuh ekonomi sambil memelihara keamanan dan kestabilan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, lawatan kerja Perdana Menteri Ethiopia, Dr. Abiy Ahmed Ali, ke Malaysia membuka peluang kerjasama lebih erat dalam bidang perdagangan, ekonomi, tenaga, dan teknologi makanan.

Selain itu, Malaysia boleh mencontohi kejayaan Ethiopia dalam memastikan kestabilan dan keharmonian masyarakat bergerak seiring dengan kemajuan ekonomi yang memberangsangkan.

"Ethiopia telah mengalami pertumbuhan yang luar biasa dan menjadi negara penting bagi Malaysia.

"Jika anda mengkaji perkembangan terkini di Ethiopia, anda akan melihat bagaimana ekonomi, tadbir urus, usaha anti-rasuah, peningkatan kualiti pendidikan, syarikat penerbangan, dan setiap bidang di negara itu berkembang.

"Dan saya rasa, dengan penuh rendah diri, Malaysia seharusnya mencontohi kejayaan ini, belajar melalui pengalaman dan saling berkongsi semangat dalam usaha memastikan Malaysia kekal sebagai negara yang stabil dan aman sambil memacu ekonominya ke hadapan," katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Ethiopia, Dr. Abiy Ahmed Ali di sini sempena lawatan rasmi beliau ke Malaysia.

Pemimpin negara itu tiba di Malaysia semalam bagi memulakan lawatan rasmi selama dua hari, yang merupakan kunjungan sulung beliau ke negara ini.

Ethiopia merupakan rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika pada tahun 2023.

Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Ethiopia direkodkan pada RM446.8 juta, dengan eksport Malaysia ke Ethiopia bernilai RM358.6 juta, mencatatkan peningkatan sebanyak 24.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Produk yang dieksport Malaysia ke Ethiopia termasuk elektrik dan elektronik, minyak sawit serta barangan pertanian berasaskan minyak sawit, bahan kimia dan produk berasaskan bahan kimia, serta tekstil, pakaian, dan kasut.

GRACE AISYAH KEDAYAN