fb fb fb fb fb

Malaysia berpotensi jalin kerjasama dengan Organisasi Awqaf New Zealand

Dr. Zulkifli Hasan

PUTRAJAYA, 12 Disember- Malaysia dilihat berpotensi menjalinkan kerjasama bersama Organisasi Awqaf New Zealand dalam memperkasakan lagi sektor wakaf di negara ini. 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan berkata, perbincangan awal telah dilakukan dalam usaha ingin meneroka sebanyak peluang yang ada dalam mewujudkan kerjasama dengan organisasi-organisasi wakaf di New Zealand.

"Sebenarnya potensi wakaf di Malaysia sangat besar dan ia telah terbukti melalui pelbagai inisiatif. Sekarang kita ada Wakaf Korporat, Wakaf Annur, Wakaf MARA, Wakaf Felda dan juga Wakaf Holdings.

"Jadi kita ada banyak kejayaan termasuk wakaf-wakaf yang ada termasuk bawah majlis agama Islam negeri-negeri di seluruh Malaysia. Bawah Yayasan Wakaf Malaysia pun ada banyak inisiatif terbaru, jadi saya merasakan bahawa Malaysia mempunyai potensi sangat besar.

"Di samping itu kejayaan semua ini disokong dana-dana baru supaya ia dapat digerakkan," katanya.

Beliau ditemui pemberita seplepas mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Organisasi Awqaf New Zealand Husain Benyounis bersama-sama lima buah organisasi termasuk perwakilan dari Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) di Kompleks Islam Putrajaya di sini.

Melalui pertemuan itu keperluan dalam mewujudkan kesalinghubungan sesama institusi wakaf kedua negara mampu membuka banyak peluang.

Perkara itu disokong dengan keupayaan setiap institusi yang mempunyai kepakaran, kelebihan dan pengalaman berbeza. 

Dalam pada itu pelan induk nasional bawah YWM dan JAWHAR juga merancang untuk menggerakkan pelan tersebut dengan kerjasama organisasi zakat yang lain.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI