fb fb fb fb fb

Malaysia berpotensi jadi Harimau Digital Asia

KUALA LUMPUR, 8 Mac- Malaysia berpotensi menjadi Harimau Digital di Asia dengan adanya kemudahan komunikasi dan digital yang canggih.

Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil optimis ia akan memberi keyakinan kepada pelabur dengan kestabilan politik ketika ini untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan sesuai.

"Kita lihat sekarang ini banyak syarikat yang telah memilih Malaysia sebagai pusat pemprosesan data seperti di Johor, Kuala Lumpur, Cyberjaya dan Pulau Pinang.

"Trend ini meningkat...banyak syarikat lihat Malaysia destinasi tepat untuk mereka," katanya.

(Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil) 

Beliau ditemui selepas menghadiri Invest Malaysia 2023 anjuran Bursa Malaysia dan Maybank, di sini hari ini.

Tambah Fahmi, kemasukan pelaburan juga memberi suntikan positif kepada ekonomi negara dengan mewujudkan banyak peluang pekerjaan yang akan menjadikan Malaysia sebagai Harimau Digital di Asia.

Misalnya, keputusan Amazon Web Service dengan pelaburan RM25.5 bilion di Malaysia turut memberi keyakinan kepada pelabur.

Beliau juga yakin KKD dan agensi berkaitan akan mempercepatkan matlamatnya dengan memastikan beberapa perkara asas dilaksanakan segera untuk mencapai realiti itu.

Liputan rangkaian 5G dicapai lebih awal

Mengenai perkembangan terkini capaian rangkaian 5G, Fahmi berkata sasaran meliputi 80 peratus kawasan berpenduduk dan tawaran harga berpatutan kepada rakyat dijangka dapat dicapai lebih awal.

Ia dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan semua syarikat telekomunikasi.

"Setakat hujung Januari, berdasarkan maklumat MCMC kita sudah capai lebih 50 peratus. Ini satu perkembangan yang positif tetapi memang dari segi teknikal daripada 50 peratus naik ke 80 peratus ada banyak cabaran.

"Saya percaya dengan kerjasama semua syarikat telco kita dapat capai 80 peratus sebelum hujung 2023, atau selewat-selewatnya 2023," katanya.

Media Baharu