JOHOR, 8 Mac- Jumlah penduduk terjejas banjir di Johor seramai 42,851 orang, setakat pukul 8.00 malam.
Jumlah itu melibatkan 12,083 keluarga yang masih berada di 186 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah negeri itu.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata Batu Pahat kini merekodkan jumlah penduduk terjejas paling ramai iaitu 32,312 orang daripada 8,986 keluarga yang berada di 100 PPS.
"Diikuti Muar, 4,151 penduduk di 21 PPS, Tangkak 2,499 orang di 21 PPS dan Segamat 1,512 orang di 27 PPS.
"Daerah lain terjejas ialah Mersing, Kluang dan Kota Tinggi," katanya menerusi kenyataan.
Katanya, sembilan sungai di tiga daerah iaitu Segamat, Muar dan Batu Pahat diletakkan bawah kategori paras air berbahaya.
Sebanyak 52 laluan dan susur masih ditutup untuk semua jenis kenderaan antaranya Jalan Johor Bahru-Seremban, Jalan Paloh, Jalan Parit Yong Peng-Muar dan Jalan Parit Warijo, Batu Pahat.
(Foto BERNAMA)