fb fb fb fb fb

Malaysia beri sokongan padu kepada Kemboja sebagai Pengerusi ASEAN

PHNOM PENH, 24 Februari - Malaysia akan terus menyokong usaha Kemboja sebagai Pengerusi ASEAN 2022.

Ini termasuk peranannya selaku Utusan Khas Pengerusi ASEAN berkenaan Myanmar, dalam membantu menangani situasi di negara terbabit dengan berkesan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Malaysia berpandangan bahawa Myanmar adalah sebuah negara jiran dan negara ASEAN yang dihargai.

"Namun, kita mahu melihat Myanmar pulih seperti sedia kala. Kita juga mahu agar Myanmar terus mencapai kemajuan demi kebaikan rakyatnya dan agar negara tersebut berada dalam keadaan yang aman, harmoni, dan sejahtera" kata beliau dalam sidang media bersama dengan rakan sejawatannya, Samdech Techno Hun Sen selepas pertemuan empat mata kedua-dua pemimpin di Peace Palace di sini hari ini.

Tegas Ismail Sabri, Konsensus Lima Perkara ASEAN (5PC) sangat penting bagi menetapkan hala tuju dalam menangani situasi di Myanmar.

Beliau juga membangkitkan mengenai pentingnya menjaga kredibiliti ASEAN.

Sehubungan itu, Malaysia akan meneruskan kerjasama dengan Kemboja untuk menjaga keamanan dan kestabilan, serta kemakmuran serantau.

 

Media Baharu