PUTRAJAYA, 13 Mei - Malaysia masih bebas daripada jangkitan bakteria Streptococcus suis yang berpunca daripada ternakan babi.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) memaklumkan, pihaknya menerima pelbagai reaksi berhubung laporan media tempatan Thailand mengenai kematian melibatkan manusia akibat jangkitan bakteria tersebut yang dikesan di negara itu baru-baru ini.
“Penyakit ini, yang dikenali sebagai streptococcosis atau turut digelar deafness fever dalam kalangan manusia, telah mencetuskan amaran kesihatan awam di Thailand. Namun, sehingga kini, tiada sebarang wabak penyakit babi disebabkan bakteria Streptococcus suis dikesan di Malaysia,” menurut DVS menerusi kenyataan.
Bakteria Streptococcus suis merupakan patogen utama yang menyebabkan penyakit streptococcosis dalam kalangan ternakan babi, khususnya anak babi selepas tempoh bercerai susu.
Penyakit itu diklasifikasikan sebagai zoonotik iaitu penyakit yang boleh menjangkiti manusia melalui luka terbuka yang terdedah kepada darah atau cecair badan daripada babi yang dijangkiti, atau melalui pengambilan daging babi yang tidak dimasak dengan sempurna.
DVS menegaskan pihaknya sentiasa memantau situasi semasa dan kekal komited dalam memastikan kesihatan haiwan serta keselamatan makanan berasaskan haiwan terus terpelihara demi melindungi kesihatan awam veterinar dan kesejahteraan rakyat.