fb fb fb fb fb

Malaysia-Bahrain sepakat perkasa ekonomi, mata wang kripto jadi tumpuan

Anwar Ibrahim (kanan) bersama Shaikh Salman Bin Khalifa Al Khalifa (kiri) semasa pertemuan hari ini/ BERNAMA

MANAMA, 20 Februari- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan dan Ekonomi Bahrain, Shaikh Salman Bin Khalifa Al Khalifa bagi membincangkan usaha memperkasa kerjasama ekonomi dan kewangan antara kedua-dua negara.

Antara perkara diberi perhatian adalah pengukuhan mata wang kripto dan pembangunan platform sandbox sebagai langkah memajukan sektor kewangan digital.

Platform sandbox merujuk kepada persekitaran ujian terpencil dan selamat untuk menjalankan aplikasi, kod atau sistem tanpa risiko menjejaskan persekitaran sebenar.

Turut dibincangkan ialah kerjasama dalam industri pelancongan, kesalinghubungan antara Kuala Lumpur dan Manama serta sektor pembuatan bagi merancakkan aktiviti ekonomi bersama.

Bahrain menyatakan komitmen untuk menjayakan Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC+China dengan pengesahan kehadiran Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman Bin Hamad Al Khalifa.

Anwar optimis kolaborasi Malaysia-Bahrain dalam pelbagai bidang yang dipersetujui akan memberi manfaat langsung kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.

Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dengan Sheikh Al-Azhar Al-Sharif, Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb yang juga Pengerusi Majlis Hukama' Muslimin di Manama, Bahrain.

Pertemuan tersebut bertujuan menilai semula tahap kerjasama yang telah dipersetujui semasa lawatan ke Kaherah pada November lalu, dengan penekanan kepada memorandum persefahaman (MoU) bagi penubuhan Institut Bahasa Arab di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Universiti Al-Azhar.

Selain itu, turut dibincangkan adalah penawaran biasiswa kepada pelajar Malaysia untuk melanjutkan pengajian di institusi berkenaan, serta penubuhan rasmi Majlis Hukama' Muslimin di Malaysia.

Dalam pertemuan berkenaan, isu berkaitan hal ehwal Islam dan situasi di Palestin turut menjadi agenda utama.

Pada kesempatan sama, Anwar memperkenalkan Datuk Mohd Nakhaie Ahmad kepada Sheikh Al-Azhar Al-Sharif sebagai wakil Malaysia yang baharu dalam Majlis Hukama' Muslimin.

2002 PM   SHEIKH AL AZHAR
Anwar Ibrahim bertemu Sheikh Al-Azhar Al-Sharif, Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb di Bahrain hari ini/BERNAMA

SITI AISHAH MD ISA