fb fb fb fb fb

Datuk, dua cucu maut dalam kebakaran di Labuan

Kebakaran di sebuah kediaman di Lazenda Villa Dua, Labuan, tengah malam tadi

LABUAN, 20 Februari- Tiga individu maut membabitkan seorang datuk dan dua orang cucunya dalam kebakaran di sebuah kediaman di Lazenda Villa Dua, Kerupang di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Labuan, Penguasa Polis (SP) Hamizi Halim memaklumkan mangsa yang terkorban merupakan seorang warga emas berusia 65 tahun serta dua cucunya yang juga adik-beradik berusia lapan dan 11 tahun.

Dua kanak-kanak lain, masing-masing berusia 13 dan 12 tahun yang ditemukan pengsan di tingkat bawah kediaman itu menerima bantuan pernafasan kecemasan (CPR) daripada pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, empat lagi ahli keluarga yang terselamat terdiri daripada seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 35 dan 32 tahun, seorang wanita warga emas, serta seorang bayi berusia setahun.

Mereka berjaya diselamatkan melalui bumbung rumah berhampiran.

Kediaman dua tingkat berkeluasan 20x20 kaki persegi itu musnah dalam kebakaran yang berjaya dikawal bomba pada 2.22 pagi.

Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

SITI AISHAH MD ISA