fb fb fb fb fb

Malaysia-Australia adakan perbincangan mengenai AI, ekonomi digital

Foto FB Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 11 Julai - Malaysia menyambut baik minat pelabur Australia dalam bidang pembuatan pintar, ekonomi digital, kecerdasan buatan dan tenaga boleh baharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu antara dibincangkan dalam perbincangan dua hala beliau dengan Menteri Luar Australia, Penny Wong di Pejabat Perdana Menteri.

“Kami menyambung semula perbincangan ke arah memperkukuh hubungan dua hala yang telah terjalin sejak 1957.

”Australia juga dijemput untuk menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) pada September ini selaras potensi besar ekonomi halal sebagai pemacu kerjasama masa depan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Penny Wong mengadakan kunjungan hormat ke atas Datuk Seri Anwar bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58.

Sementara itu, Perdana Menteri turut memaklumkan pendidikan kekal menjadi salah satu tonggak hubungan Malaysia-Australia.

”Kita menjangkakan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) baharu pada Mesyuarat Pemimpin Tahunan pada Oktober ini meliputi bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)dan pembangunah kurikulum dan program pertukaran pelajar,” ujar beliau.

Pada perbincangan tersebut, Datuk Seri Anwar turut menzahirkan penghargaan atas sokongan Australia dalam memperkukuh keupayaan vaksin tempatan melalui dana latihan dan penyelidikan berjumlah AUD500,000.

”Saya menantikan lawatan Perdana Menteri, Anthony Albanese ke Malaysia pada Oktober ini bagi membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala berteraskan kepercayaan, nilai bersama dan aspirasi rantau Indo-Pasifik yang lebih aman dan makmur,” kata beliau.  

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM