KUALA LUMPUR, 11 Julai - ASEAN sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk menaik taraf status Turkiye daripada rakan dialog sektoral kepada rakan dialog penuh ASEAN dalam masa terdekat.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Tiga Hala antara Malaysia, Turkiye dan Sekretariat ASEAN, yang diadakan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) di sini hari ini.
Beliau berkata, mesyuarat turut meneliti potensi memperkukuh hubungan dua hala menerusi mekanisme baharu dan lebih inklusif, termasuk memperhalusi langkah ke arah pengiktirafan Turkiye sebagai Rakan Dialog Penuh ASEAN.
“Turkiye telah memainkan peranan yang aktif sebagai Rakan Dialog Sektoral, termasuk dalam bidang teknologi, keselamatan, pertahanan dan pemberian biasiswa kepada pelajar-pelajar ASEAN.
“Kita sedang mempertimbangkan cara bagaimana untuk membawa Turkiye sebagai ahli penuh rakan dialog ASEAN pada masa yang terdekat", katanya di sini.
Dalam pada itu beliau turut mendedahkan beberapa negara lain turut menyatakan hasrat untuk menjadi Rakan Dialog ASEAN.
Namun begitu, ASEAN kini mengamalkan tempoh moratorium terhadap kemasukan rakan baharu, demi menjaga keseimbangan dalam mekanisme rundingan dan memastikan keberkesanan suara kolektif rantau ini.
“Apabila Timor-Leste diserap sebagai anggota penuh kelak, jumlah negara anggota ASEAN akan meningkat kepada 11.
"Ketika ini, Rakan Dialog ASEAN juga sudah berjumlah 11. Jika jumlah ini bertambah mendadak, ada kebimbangan bahawa suara ASEAN akan tenggelam dalam forum-forum multilateralisme,” jelasnya.
Mesyuarat Tiga Hala ini merupakan antara langkah ASEAN memperkukuh kerjasama strategik dengan negara luar rantau melalui pendekatan dialog yang inklusif, seimbang dan berteraskan kepentingan