fb fb fb fb fb

Malaysia-AS tandatangani perjanjian pertahanan baharu, tingkat keselamatan negara

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, 30 Oktober -Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) hari ini menandatangani satu perjanjian kerjasama baharu dalam bidang pertahanan, bagi memperkukuh hubungan dua hala serta meningkatkan keupayaan keselamatan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perjanjian yang dimeterai itu akan menjadi rangka kerja formal dan berstruktur untuk melaksanakan pelbagai bentuk kerjasama antara kedua-dua negara.

"Sebelum ini kita tidak mempunyai satu rangka khusus yang formal atau berstruktur, tetapi banyak melakukan latihan kerjasama dan pertukaran pegawai. Kita juga merupakan negara yang menerima sokongan Amerika Syarikat bawah program peningkatan keupayaan pertahanan. Dengan adanya perjanjian ini, kita boleh susun dan pastikan pelaksanaan berjalan lancar mengikut keperluan negara," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Dua Hala Malaysia–Amerika Syarikat, di sini.

Beliau menjelaskan bahawa perjanjian itu memberi penekanan terhadap pertukaran pegawai, latihan bersama dan bantuan teknikal bagi memperkukuh kebolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Biasanya satu-satu perjanjian seperti ini dinilai semula setiap lima tahun. Ia lebih kepada peluang untuk menghantar pegawai, menjalankan latihan dan mendapat bantuan bagi meningkatkan keupayaan pertahanan," kata Datuk Khaled.

Datuk Seri Khaled turut menegaskan bahawa kerjasama dengan Amerika Syarikat bukan bermakna Malaysia bergantung kepada mana-mana kuasa luar, sebaliknya merupakan sebahagian daripada pendekatan diplomasi pertahanan yang diamalkan negara.

"Dalam pertahanan, kita ada dua pendekatan utama. Pertama ialah perolehan dan peruntukan kerajaan untuk menentukan kesiagaan angkatan pertahanan. Kedua ialah diplomasi pertahanan, di mana negara lain turut membantu atau menyumbang dalam meningkatkan keupayaan pertahanan kita. Itu bukan bantuan bersyarat, tetapi sebahagian daripada hubungan pertahanan antarabangsa,"  katanya lagi.

Beliau menambah, diplomasi pertahanan yang berkesan akan menjadikan Malaysia lebih diyakini sebagai rakan strategik dari negara lain.

"Lagi berkesan diplomasi kita, lagi banyak negara yang ingin melihat kita berupaya berdepan cabaran bersama. Jadi perjanjian dengan Amerika ini adalah satu bentuk diplomasi yang sangat berkesan," jelasnya.

Mengulas mengenai penyertaan Amerika Syarikat dan China dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus, beliau berkata penyertaan kedua-dua kuasa besar itu menunjukkan keyakinan terhadap platform ASEAN sebagai ruang untuk dialog terbuka.

"Amerika dan China kena datang ke ADMM-Plus, menjadikan platform ini satu platform yang diyakini. Walaupun berbeza pandangan, di sinilah mereka boleh menyampaikan pendirian masing-masing. ASEAN pula boleh menyampaikan harapan agar kawasan ini terus aman, bebas dan stabil,” katanya.

Beliau menegaskan, Malaysia perlu terus mengimbangi kehadiran kuasa besar di rantau ini bagi mengekalkan kestabilan serantau.

"Kita sebuah negara kecil yang mungkin tidak mampu berdepan dengan cabaran besar secara bersendirian. Sebab itu kita perlukan kehadiran negara lain di sini untuk mengimbangi keadaan," ujar beliau.

TETITIA YUSOFF