fb fb fb fb fb

Malaysia ambil pendekatan seimbang, tangani isu keselamatan dalam talian

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 22 Januari - Kerajaan buat masa ini tidak berhasrat untuk mengikut langkah negara lain yang mengehadkan akses dalam talian berdasarkan had umur.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, pendekatan lebih seimbang dalam menangani isu keselamatan dalam talian akan diterapkan di negara ini khususnya kepada golongan kanak-kanak.

"Adakah kerajaan berhasrat untuk mengikuti jejak langkah Australia untuk mengekang had umur 16 tahun, kita pada tahun ini tidak berhasrat untuk mengikut bulat-bulat dari negara lain. Tetapi kita akan imbangi mengambil kira latar belakang sosiobudaya dan juga landskap perundangan kawal selia sedia ada dalam negara kita," kata Fahmi.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menjadi panelis pada Ekspo dan Sidang Kemuncak Keselamatan Antarabangsa Asia (AISSE) 2025 di sini.

Australia pada 28 November 2024 meluluskan Rang Undang-Undang untuk mengharamkan penggunaan media sosial bagi kanak-kanak bawah usia 16 tahun.

Langkah itu sekali gus menetapkan piawaian bagi negara lain untuk turut serta dalam usaha global bagi mengawal kuasa teknologi.

Dalam pada itu, Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terus diminta untuk memperkukuh hubungan antarabangsa dengan badan kawal selia di negara lain, bagi mengatasi isu jenayah dalam talian yang semakin membimbangkan.

“Isu keselamatan siber dan keselamatan dalam talian ini tidak boleh dipisahkan, apatah lagi dalam keadaan penjenayah berhijrah secara massa ke media sosial.

“Jadi, langkah dan tindakan perundangan yang mereka (badan kawal selia negara lain) ambil dalam menangani jenayah dalam talian boleh memberikan panduan kepada kita,” katanya.

Ditanya mengenai metodologi untuk mengimbangi kebolehcapaian Internet dan keselamatan dalam talian, Fahmi berkata walaupun terdapat beberapa permasalahan namun pihaknya akan terus melaksanakan advokasi agar lebih ramai cakna terhadap isu berkenaan.

“Tetapi bila kita menyediakan kesalinghubungan, bila kita bawa Internet, kita dapati ada yang terjerumus kepada judi dalam talian seterusnya jadi mangsa penipuan.

“Maka untuk mengimbangi antara akses dan keselamatan penting, (jadi) para pengguna juga diberikan pemahaman mengenai aspek keselamatan asas yang perlu mereka amalkan. Inilah yang akan kita laksanakan melalui kempen kesedaran keselamatan dalam talian,” katanya.

TETITIA YUSOFF