fb fb fb fb fb

Bantuan STR ringankan beban kos sara hidup rakyat

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 22 Januari-Penyaluran bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang bermula hari ini dijangka dapat meringankan beban kos sara hidup penerima serta dapat dimanfaatkan oleh 9 juta penerima.

Rata-rata penerima bantuan berkenaan menyambut baik inisiatif tersebut dengan menyifatkan ia keperihatinan kerajaan terhadap rakyat.

Salah seorang penerima yang ditemui RTM, Nureliya Farhana menyifatkan bantuan berkenaan berupaya membantunya meringankan perbelanjaan harian memandangkan gaji bulanannya diperuntukkan untuk melangsaikan komitmennya.

"Saya rasa sangat bersyukur kerana tambahan duit sumbangan STR itu dapat membantu meringankan perbelanjaan saya jika sudah kehabisan duit belanja kerana membayar komitmen bulanan", katanya.

Sementara itu, Nurhanis Natrah Mohd Hisham yang merupakan penerima STR golongan bujang pula menyifatkan STR membantu mengurangkan beban kos sara hidup terutamanya kepada mereka yang baharu sahaja memasuki alam pekerjaan.

"Apabila baru memasuki alam pekerjaan selepas tamat pengajian, bantuan yang diberikan oleh kerajaan kepada individu bujang dimana sebanyak RM600 lebih tinggi daripada tahun sebelum ini,

"Ia amat memberangsangkan dan memahami nasib individu yang belum berkeluarga", jelasnya yang baharu sahaja memasuki alam pekerjaan di salah sebuah syarikat di sini.

Dalam pada itu, manfaat bantuan STR tidak hanya dirasai oleh golongan bujang dan baharu memulakan pekerjaan tetapi turut dirasai oleh golongan yang berkeluarga.

Wan Ammar Haziq Wan Zulkernain, penerima STR untuk golongan berkeluarga berkata duit bantuan STR yang diterimanya digunakan untuk membeli barangan keperluan asas bagi keluarga.

"Sumbangan ini sangat membantu. Saya merancang untuk berbelanja dengan bijak seperti beli barang-barang dapur, barang-barang keperluan dan juga sebagai simpanan untuk kecemasan", katanya.

Menerusi Belanjawan 2025 lepas, kerajaan telah meningkatkan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peningkatan tersebut akan melibatkan 4.1 juta penerima STR kategori isi rumah yang akan menerima SARA sebanyak RM100 sebulan, berbanding hanya 700,000 penerima pada tahun lepas.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD