DUNGUN, 22 Januari - Masalah hakisan dan jalan runtuh di pantai Batu Rakit, Kuala Nerus akan ditangani secepat mungkin.
Iaitu sebaik sahaja kerja-kerja pembinaan benteng pemecah ombak di kawasan itu disambung kembali selepas berakhir musim tengkujuh tidak lama lagi.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebelum ini projek berkenaan tergendala sementara akibat fenomena ombak besar sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).
Projek bernilai RM70 juta bawah Kerajaan Persekutuan itu akan diteruskan, sekali gus mampu menyelamatkan pantai itu daripada hilang ditelan ombak.
Pembinaan benteng pemecah ombak ketika ini sedang berjalan namun ia tergendala seketika disebabkan berlaku fenomena ombak besar yang lebih kuat dan agak luar biasa berbanding tahun sebelumnya.
"Tapi sebagaimana yang saya maklumkan sebelum ini saya telah menghubungi dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang menjaga PETRA dan Insha-Allah beliau telah menyatakan komitmen untuk membantu dan dalam waktu yang terdekat ini beliau sendiri akan turun ke negeri Terengganu. Saya difahamkan begitu oleh pegawai-pegawai beliau dan Insha-Allah kita akan mengunjungi tapak dan akan melihat apa tindakan segera yang boleh dibuat," kata Ahmad Samsuri.
Beliau ditemui pemberita selepas meninjau Pembangunan Berorientasikan Transit TOD di stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur ECRL Dungun, di sini.
Dalam pada itu Ahmad Shamsuri berkata proses kerja awalan termasuk penghantaran bahan binaan ke tapak projek sudah dilakukan kontraktor bagi projek pembinaan benteng pemecah ombak di kawasan terjejas yang dijangka siap pada 2026.
Masalah hakisan pantai berlaku menyebabkan dua jalan iaitu Jalan Mengabang Telipot sepanjang 300 meter dan Jalan Pantai Kampung Tanjung Batu Rakit sepanjang 330 meter ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan.