fb fb fb fb fb

Malaysia ahli komuniti antarabangsa bertanggungjawab di bawah bimbingan Agong - Kor Diplomatik

KUALA LUMPUR, 6 Jun - Malaysia telah menjadi ahli komuniti antarabangsa yang sangat bertanggungjawab sepanjang pandemik COVID-19 di bawah bimbingan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dekan Kor Diplomatik di Malaysia yang juga Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon berkata Malaysia menunjukkan semangat kemurahan hati kepada negara lain, seperti menyumbang vaksin walaupun ketika sedang menangani situasi sukar COVID-19.

Berucap mewakili kor diplomatik di Malaysia pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan yang berlangsung di Istana Negara, di sini hari ini, beliau berkata sejak dua tahun lepas, Malaysia terpaksa berhadapan dengan kesan COVID-19 terhadap kehidupan dan mata pencarian warganya.

Bagaimanapun, beliau berkata Malaysia telah berjaya mengharungi dan mengatasi pelbagai cabaran dan Seri Paduka telah memberikan keyakinan serta jaminan kepada rakyat semasa keadaan yang tidak menentu dan sukar ini.

“Atas sokongan dan nasihat bijaksana Tuanku, kerajaan Malaysia juga dapat menangani COVID-19.

“Sebagai contoh, Seri Paduka menggalakkan rakyat Malaysia mengambil suntikan dos penggalak COVID-19 dan menggesa rakyat agar mematuhi amalan kesihatan yang baik semasa Hari Raya. Inisiatif sebegini membawa rakyat Malaysia bersama-sama memerangi virus itu,” katanya pada istiadat itu bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong.

(Ketua Kor Diplomatik, Vanu Gopala Menon berucap mewakili kor diplomatik di Malaysia 
pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara)

Beliau berkata ketika Malaysia dalam fasa peralihan menganggap COVID-19 sebagai endemik, tepat pada waktunya bagi semua meraikan hari keputeraan dan kepimpinan Seri Paduka.

“Baru bulan lepas, rakyat Malaysia kembali dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri seperti biasa. Mereka boleh pulang ke kampung untuk meraikannya bersama keluarga. Pada April, Malaysia membuka semula sempadannya kepada dunia. Saya melihat lebih ramai pelancong di sekitar KLCC, termasuk warga Singapura,” katanya.

Sementara itu beliau berkata Malaysia terus menyumbang kepada agenda serantau dan global serta mengukuhkan kerjasama antarabangsanya.

“Saya yakin di bawah kepimpinan Tuanku, rakyat Malaysia akan terus melihat masa depan dengan yakin dan bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk membina masa depan yang lebih baik untuk kita semua.

“Mengenai perkara ini, komuniti diplomatik di Malaysia bersedia untuk bekerjasama rapat dengan Tuanku, kerajaan Malaysia, dan rakyat Malaysia,” katanya.

Mengakhiri ucapan, beliau menyampaikan ucapan tahniah dan mendoakan Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dikurniakan kesejahteraan kesihatan, kebahagiaan dan kejayaan.

-- BERNAMA

Media Baharu