fb fb fb fb fb

Banjir: PM ke Kedah, bukti prihatin kepada rakyat

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melawat penduduk terjejas banjir di Kedah/ Foto facebook Anwar Ibrahim

ALOR SETAR, 21 September- Kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negeri Kedah hari ini sebagai tanda prihatin terhadap rakyat yang ditimpa musibah.

Kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan Perdana Menteri. Beliau yang tiba di Alor Setar pagi tadi memulakan lawatan dengan meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti.
 
Beliau kemudian, bergerak ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kedah di Mergong sebelum mengakhiri lawatan dengan meninjau PPS Sekolah Kebangsaan Titi Gajah, Anak Bukit.  
 
Sepanjang lawatan itu, Datuk Seri Anwar turut meluangkan masa mendengar taklimat berkaitan situasi banjir yang berlaku di tujuh daerah di Kedah, selain beramah mesra bersama penduduk yang terjejas.
 
Beliau turut memberi kata-kata semangat dan nasihat kepada penduduk yang terjejas agar bersabar dan tabah mengharungi dugaan yang berlaku. Pada masa sama katanya, kerajaan akan melakukan yang terbaik bagi membantu penduduk terlibat. 
 
Kecaknaan Datuk Seri Anwar memberi semangat dan motivasi khususnya kepada penduduk yang ditimpa musibah bencana alam ini.

Beberapa penduduk yang ditemui turut meluahkan rasa syukur atas keprihatinan Perdana Menteri.                                    
 
"Banyak bantuan, alhamdulillah dari segi kewangan yang diberi pun boleh membantu kita nak cuci keadaan rumah kita yang kotor, ada barang-barang yang rosak. Perdana Menteri mai (datang) bagi sumbangan ini, alhamdulillah ada juga bantuan, meringankan sedikit beban orang kampung pada masa kritikal", ujar penduduk terjejas banjir, Abdullah Yahya.

"Kepada Perdana Menteri yang bagi sumbangan, banyak juga untuk cuci rumah dan kami tidak boleh bekerja, terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kedah juga dan semua pihak. Gunakan bantuan secara berhemah mengikut keperluan", kata penduduk terjejas, Abdullah Ismail yang ditemui media di sini.

"Rasa bersyukur dan seronok, terima kasih kepada PM. Dengan keadaan kita macam ini, susah juga, tidak boleh kerja, bantuan yang diterima boleh buat belanja makan", kata penduduk terjejas banjir Monaliza Mansor, di sini.
 

ROSLINA BINTI DIN