fb fb fb fb fb

Ops Global Fasa 4: 155 suspek ditahan, ramai melarikan diri

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 September - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan 155 suspek, terdiri daripada 78 lelaki dan 77 wanita yang dipercayai pengikut GISB Holdings (GISBH) dalam Operasi Global (Op Global) Fasa 4, di seluruh semenanjung awal pagi tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata PDRM juga menyelamatkan 186 mangsa, termasuk seorang kanak-kanak yang videonya tular di media sosial yang dirotan oleh seorang lelaki dipercayai ahli GISBH.

Menurut beliau, operasi tersebut menyasarkan 82 premis di seluruh Semenanjung Malaysia, termasuk rumah amal, klinik, premis perniagaan, ma’ahad, dan rumah persendirian.

Tambahnya, serbuan hari ini membabitkan 3,801 kekuatan sumber manusia itu, terdiri daripada 2,528 pegawai dan anggota PDRM serta 1,273 kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JAKIM), Jabatan Kimia dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"PDRM bersama JAKIM turut berjaya membuat beberapa rampasan ketika operasi dijalankan termasuk risalah-risalah mengandungi elemen-elemen yang dipercayai bercanggah dengan ajaran agama islam serta barang berunsur khurafat.

"Melalui operasi yang dijalankan juga, PDRM mendapati beberapa premis yang diserbu telah dikosongkan dipercayai ahli GISBH telah melarikan diri," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Razarudin berkata, kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

PDRM turut menyeru orang awam yang mempunyai maklumat atau pernah menjadi mangsa untuk tampil ke hadapan dan membantu melengkapkan siasatan terhadap kes ini.

Katanya, langkah sedemikian dapat membantu polis melengkapkan siasatan terhadap kes berkenaan secara tuntas dan menyeluruh.

GRACE AISYAH KEDAYAN