fb fb fb fb fb

Tanah runtuh berhampiran Agro Market Cameron Highlands

Tanah runtuh berlaku kira-kira 11 pagi tadi/Foto APM

KUANTAN, 21 September - Satu kejadian tanah runtuh di Kilometer 67, Jalan Besar Brinchang berhampiran Agro Market di Cameron Highlands, pagi tadi.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian pukul 11 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden Azri Ramli berkata kejadian itu menyebabkan sebahagian laluan terhalang ekoran tanah runtuh, pokok dan tiang elektrik yang tumbang.

“Dalam kejadian yang berlaku turut menyebabkan sebuah kenderaan yang diletakkan berhampiran telah dihempap tiang elektrik yang tumbang.

"Kerja pembersihan dilakukan segera dan sebelah jalan telah dibuka untuk semua kenderaan pada pukul 1 tengah hari," katanya di sini hari ini.

Tambahnya, kerja-kerja pembersihan masih giat dilakukan bagi membuka kedua-dua laluan jalan berkenaan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanah Rata, Ho Chi Yang menzahirkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam operasi pemulihan itu.

"Terima kasih kepada Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis dan pihak berkuasa lain atas tindakan pantas mereka bagi memastikan keselamatan penduduk dan pelancong," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

GRACE AISYAH KEDAYAN