fb fb fb fb fb

Bapa maut dalam kemalangan, berpunca daripada pemandu mabuk

KAMPAR, 6 Jun- Seakan tidak pernah serik, pemandu mabuk terus menjadi penyebab kematian insan tidak berdosa di jalan raya.

Di kilometer 1, Jalan Kuala Dipang-Malim Nawar, seorang lelaki maut selepas kenderaan dinaiki bersama isteri dan anaknya terlibat dalam kemalangan, malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud, mangsa Mohd Nazri Sham Aring maut di tempat kejadian selepas kenderaan dipandu bertembung dengan kereta jenis Honda Civic dinaiki dua lelaki dipercayai mabuk.


(Anggota polis Daerah Kampar bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan orang awam yang melaporkan kemalangan tersebut)

Mayat kemudiannya dibawa ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.

Sementara itu, anak lelaki mangsa berusia tiga tahun mengalami pendarahan dalam kepala manakala isterinya hanya cedera ringan.

Susulan kejadian tersebut, polis menahan pemandu Honda Civic berusia 29 tahun selepas disyaki memandu dalam keadaan mabuk semasa kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Media Baharu