PUTRAJAYA, 18 Ogos – Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, memberi jaminan kerajaan akan meneliti secara menyeluruh laporan fenomena “AI Productivity Paradox” yang dibangkitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam amanatnya pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri, hari ini.
Menurut beliau, maklum balas rasmi mengenai laporan awal itu akan disampaikan kepada Perdana Menteri dalam tempoh dua minggu.
“Petang ini pukul 4.00 kita ada mesyuarat Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) dan saya sudah minta Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Datuk Dr Mohd Zabri Yusoff, untuk membentangkan semula laporan yang dinaikkan oleh United Nations University (Tokyo).
"Jadi, dalam tempoh dua minggu kita akan beri maklum balas kepada Perdana Menteri,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Bersama Ketua Setiausaha Negara anjuran bersama Jabatan Penerangan Malaysia.
Terdahulu, Perdana Menteri mengarahkan, KSN serta Ketua-Ketua Jabatan di peringkat kementerian meneliti kesan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam pentadbiran kerajaan.
Menurut Datuk Seri Anwar, langkah itu penting bagi mengesan risiko berlakunya paradoks produktiviti dalam pelaksanaan transformasi digital negara.