fb fb fb fb fb

Johor tubuh Jawatankuasa Khas tangani isu buli pelajar

EXCO Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin

JOHOR BAHRU, 18 Ogos – Kerajaan Johor menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi membendung isu buli dalam kalangan pelajar sekolah.

Jawatankuasa itu melibatkan kerjasama empat Pengerusi Jawatankuasa meliputi portfolio Pendidikan, Kesihatan, Kebajikan Masyarakat serta Hal Ehwal Agama Islam.

EXCO Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, jawatankuasa berkenaan akan menyusun langkah dan pendekatan khusus bagi menangani masalah itu di peringkat negeri.

“Kita tubuhkan satu 'task force' untuk menyusun kaedah mengatasi masalah buli. Hari ini kita akan bermesyuarat bagi meletakkan beberapa pendekatan yang sesuai dilaksanakan di Johor,” katanya.

Selain kerjasama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, jawatankuasa khas itu juga akan melibatkan agensi penguatkuasaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Citra Karisma 2025 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor.

Mengulas kes buli membabitkan seorang murid lelaki berusia 10 tahun di sekolah agama di negeri itu Februari lalu, Aznan menjelaskan tindakan susulan akan diumumkan selepas mesyuarat pertama jawatankuasa khas petang ini.

Mangsa yang juga pesakit kanser hidung dilaporkan mengalami gegaran otak dan masih dirawat di hospital.

Kes berkenaan turut mendapat perhatian Kementerian Pendidikan yang mahu siasatan segera dijalankan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE