KUALA LUMPUR, 18 Ogos - Kecuaian manusia dikenal pasti sebagai punca utama kemalangan jalan raya di negara ini, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata, berdasarkan data Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), sebanyak 80.6 peratus insiden berpunca daripada kelalaian pemandu.
"Walau bagaimanapun yang kita lakukan untuk memperbaiki jalan, jika kecuaian itu terus berlaku atas pengaruh manusia atas kelalaian manusia atau pemandu yang memandu laju yang penting pada pandangan kami di kementerian dan juga jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, satu itu yang penting tentunya ialah sikap dan kewaspadaan manusia," katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman yang mahu penjelasan berhubung faktor utama kemalangan jalan raya di negara ini.
Faktor lain yang dikenal pasti termasuklah keadaan jalan raya sebanyak 13.2 peratus dan keadaan kenderaan, 6.2 peratus.