fb fb fb fb fb

500 Rumah Kasih Johor disasar siap dibina menjelang 2026

Foto / BERNAMA

PONTIAN, 18 Ogos - Sebanyak 500 unit Rumah Kasih Johor (RKJ) disasarkan siap dibina dan diserahkan kepada penerima menjelang tahun 2026.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, daripada jumlah itu, 400 penama telah dimasukkan dalam senarai mesyuarat teknikal.

Sehingga kini, 174 unit RKJ telah diserahkan sejak tahun lalu, dengan kawasan luar bandar mencatatkan jumlah permohonan tertinggi melibatkan 10 daerah.

Menurut Datuk Mohd Jafni, baki unit akan disiapkan secara berperingkat sehingga 2026, berdasarkan kelayakan mengikut kriteria ditetapkan.

"Sebenarnya kriteria pertama, pemohon mesti di bawah garis kemiskinan, maksudnya RM850 sebulan pendapatan layak untuk memohon.

"Keduanya pemohon tidak ada pemilikan harta, maksudnya tidak ada rumah pertama atau rumah kedua. Manakala ketiga, mereka ada tanah ataupun tanah daripada saudara mara, adik-beradik yang membenarkan mereka untuk membina di atas tanah ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan RKJ di sini hari ini.

Tambah beliau, Kerajaan Johor juga sedia menambah 200 unit lagi RKJ, menjadikan keseluruhan 700 unit, sekiranya permintaan terus meningkat.

AHMAD ASHRAF BIN AB RAHMAN