PUTRAJAYA, 20 Julai – Malaysia dan Singapura kini menjalin kerjasama strategik dalam tiga komponen utama melibatkan teknologi digital kerajaan (GovTech), perumahan awam dan reformasi sektor awam bagi memperkasa mutu penyampaian perkhidmatan awam.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata aspek-aspek tersebut telah dikenal pasti menerusi lawatan rasmi beliau ke Singapura baru-baru ini sebagai sebahagian usaha menambah baik sistem pentadbiran negara.
“Kita ingin belajar dengan Singapura, satu daripadanya mengenai GovTech sebab mereka telah melaksanakannya dan kita dalam proses untuk meluncurkannya. Kedua, mengenai perumahan mampu milik melalui Lembaga Perumahan Singapura (HDB), dan ketiga berkaitan reformasi dalam perkhidmatan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Karnival Sukan Persatuan Bekas Pelajar MRSM Malaysia (ANSARA Malaysia), di sini.
Tambah beliau, Singapura turut menyambut baik cadangan Malaysia untuk memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang perkhidmatan awam.
“Mereka menyambut baik cadangan kita… dan kita juga telah adakan sesi bersama untuk membincangkan kerjasama strategik antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Singapura,” katanya lagi.
Dalam ucapannya di majlis sama, Tan Sri Shamsul Azri turut menyeru rakyat Malaysia agar mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat dengan menjadikan Singapura sebagai contoh, di mana purata jangka hayat penduduknya mencecah 84 tahun, berbanding sekitar 73 hingga 74 tahun bagi rakyat Malaysia.
Sementara itu, mengulas mengenai Himpunan Turun Anwar yang dijadualkan berlangsung pada 26 Julai ini, beliau mengingatkan penjawat awam agar terus berpegang teguh pada ikrar kesetiaan yang diikrarkan setiap minggu.
“Sebab setiap hari, setiap minggu kita baca ikrar itu – kesetiaan kepada Raja dan negara. Lupa ke? Kena setialah kepada Raja dan negara,” tegasnya.