KUALA LUMPUR, 20 Julai – Kebakaran hutan dan belukar yang berlaku di beberapa kawasan negara sejak beberapa hari lalu dipercayai berpunca daripada perbuatan manusia dan bukannya disebabkan faktor semula jadi.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata cuaca semasa yang panas masih belum mencapai tahap yang mampu menyebabkan kebakaran secara spontan tanpa campur tangan manusia.
“Berdasarkan pemerhatian kami, walaupun negara sedang mengalami musim panas, keadaannya belum mencapai tahap yang boleh mencetuskan kebakaran dengan sendiri. Penyalaan api tidak mungkin berlaku disebabkan cuaca semata-mata. Justeru, kebakaran yang berlaku ketika ini besar kemungkinan berpunca daripada aktiviti manusia,” katanya ketika dihubungi RTM.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan pihaknya tidak menjalankan siasatan forensik secara khusus bagi setiap kes kebakaran yang dilaporkan.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad / Foto Bernama
Antara insiden terkini yang berlaku ialah kebakaran hutan seluas kira-kira 1.2 hektar di Bukit Kajang Prima, Selangor, semalam.
Menurut statistik JBPM, sebanyak 7,223 kes kebakaran direkodkan di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga 19 Julai 2025. Daripada jumlah itu, kebakaran belukar atau lalang mencatatkan angka tertinggi dengan 4,733 kes, diikuti kebakaran sampah (1,662 kes), hutan (537 kes) dan kebun atau ladang (291 kes).
Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 1,364 kejadian, diikuti Perak (938), Johor (831), Kedah (662), Kuala Lumpur (113) dan Labuan (44), manakala Putrajaya merekodkan hanya lapan kes dalam tempoh sama.
Dalam pada itu, beberapa kawasan di Selangor dan Negeri Sembilan, termasuk Johan Setia dan Nilai, dilaporkan mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat hari ini.
Keadaan itu dipercayai berpunca daripada asap kebakaran hutan di Indonesia yang dibawa oleh tiupan angin ke kawasan Semenanjung Malaysia, sekali gus menjejaskan kualiti udara tempatan.