PUTRAJAYA, 9 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi International Economic Senate (IWS), Peter Nussbaum bersama delegasi World Economic Council, WEC di Putrajaya.
IWS yang berpangkalan di Jerman menghimpunkan pemimpin perniagaan, usahawan serta penggubal dasar dalam memacu ekonomi mampan menerusi amalan perniagaan bertanggungjawab.
Delegasi WEC merupakan antara inisiatif IWS yang menghimpunkan pemimpin perniagaan, pegawai kerajaan dan pakar dari pelbagai bidang.
Menurut Perdana Menteri, lawatan tersebut merupakan inisiatif berterusan dalam memperkukuh kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Jerman, serta meneroka peluang-peluang pengembangan pelaburan luar.
“Kami bertukar pandangan berkaitan dasar-dasar dan kemudahan perniagaan oleh Kerajaan MADANI yang boleh dimanfaatkan pelabur luar,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Tambah beliau, Jerman merupakan rakan dagang terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah (EU) sejak tahun 2000.
Dalam pada itu, Malaysia turut melihat potensi kerjasama lebih besar melalui rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Kesatuan Eropah-Malaysia (MEUFTA) yang dimulakan semula pada 20 Januari lalu.